Sudah agak lama rasanya saya tidak mencatit apa-apa coretan rasa di sini. Permulaan tahun baru 2010 pada Januari lepas adalah seperti biasa bagi saya. Sepatutnya pada 5hb Jan 2010 saya sudah mendaftarkan diri sebagai pelajar jurusan Diploma Teknologi Pembuatan (CAD / CAM) di IKBN Pagoh, tetapi malangnya saya tidak dapat meneruskan cita-cita saya untuk bergelar seorang jurutera dan menetap di Jepun bagi melanjutkan pelajaran atau bekerja di bumi matahari terbit tersebut. Saya terpaksa melupakan cita-cita saya dari kecil adalah kerana masaalah $$$$.....
Sebenarnya ini merupakan kali kedua saya telah menolak tawaran untuk menyambung pelajaran di IKBN dalam bidang yang sama. Nampaknya rezeki saya memang tiada dalam bidang ini. Tak mengapa, saya perlu tabahkan hati dan kuatkan semangat mungkin ada hikmah disebaliknya atau mungkin saya akan mendapat peluang yag lebih baik. Sesungguhnya Allah S.W.T mengetahuai apa yang terbaik untuk hamba-Nya yang kerdil dan tidak berdaya seperti saya ini.
Tak mengapa cita-cita tetap harus diteruskan. Kadang-kala tak semestinya apa ynag kita nak kita dapat, tetapi apa yang kita dapat kadang kala lebih sesuai dengan kemampuan diri dan lebih baik dari apa yang kita nak. Berdasarkan prinsip tersebutlah menjadikan saya seorang insan yang berhati cekal dan tak pernah sesekali mengalah atau menyesali apa-apa jua yang telah berlaku. Kerana pada saya, sesuatu yang telah berlaku sudah pasti kita tak boleh berpatah balik. Kita haruslah meneruskan hidup ini dengan sabar dan tabah dan pada akhirnya kejayaan pasti milik kita jika kita tak lekang berusaha dan berdoa. Mungkin satu hari nanti saya dapat juga menjejakkan kaki ke Jepun walaupun bukan untuk melanjutkan pelajaran atau bekerja tapi mungkin sebagai pelancong sahaja. Mungkin walaupun ketika itu usia saya sudah mencecah 70-80 tahun sekalipun saya tetap akan berasa gembira sekurang-kurangnya saya dah dapat pergi tempat paling saya impikan dalam hidup selain daripada Kaabah di Mekkah.
Akhirnya, pada penghujung Januari yang lalu saya telah pun mendaftar sebagai calon persendirian STPM dan MUET bagi sesi tahun 2010. Setelah berfikir semasak-masaknya dan mempertimbangkan segalanya saya akhirnya telah nekad membuat keputusan ini. Saya juga telah membeli buku-buku rujukan dan latihan serta buku-buku khas untuk membuat latihan dan nota. Sekarang saya telahpun memulakan proses menteelaah dan mengulangkaji pelajaran setiap hari bergantung pada jadual yang telah saya buat.
Saya telah mengambil keputusan untuk memilih mata pelajaran yang pernah saya pelajari semasa belajar dalam jurusan Sijil selama 2 tahun di Politeknik. Jadi mungkin anda sangka agak mudah bagi saya menyesuaikan diri. Tapi sebenarnya ianya tak lah semudah itu. Ini adalah kerana saya perlu mentelaah semula mata pelajaran tersebut dengan lebih teliti dan memahaminya dengan lebih mendalam. Oleh itu, saya perlulah giat berusaha untuk mempertingkatkan dan menambah ilmu di dada.
Saya percaya bahawa “Untuk mendapatkan apa yang kita nak, kita mesilah sanggup berkorban masa,tenaga, minda dan wang ringgit asalkan pengorbanan kita itu tidak menyalahi undang-undang Agama dan Negara”. Saya juga haruslah “Berusaha tanpa pernah mengenal erti payah, jemu dan putus asa jika mahu berjaya pada masa hadapan”. Saya perlulah “Menempuhi segala cabaran, halangan dan rintangan yang mendatang dalam bentuk apa jua sekali pun dengan hati dan minda yang tabah, sabar dan cekal serta berani menempuhinya.”
Ramai rakan-rakan seangkatan di Politeknik telah menyambung pelajaran pada peringkat Diploma di Politeknik. Tapi saya tidak dapat berbuat demikian kerana faktor-faktor $$$$. Tak mengapa, sekarang saya perlu belajar bersungguh-sunggguh dan dalam masa sama mencari pekerjaan serta bersedia membahagikan masa dengan kerjaya dan tanggungjawab kepada ibu bapa. Kepada rakan-rakan saya doakan kalian semua berjaya mendapat apa yang kalian impikan dan berjaya dalam pelajaran serta kerjaya, bahagia disamping keluarga dan orang-orang yang disayangi. Kenang daku dalam doamu, “See u D IPT”
No comments:
Post a Comment